mabot
TAHUN
2023
Pagi yang masih gelap subuh, sebelum matahari sempat
memunculkan diri sepatutnya menjadi waktu yang paling bahagia untuk membalutkan
diri dalam selimut dengan katil yang begitu empuk. Adam tidak mahu membuka
matanya, tidak mahu menunaikan tanggungjawab terhadap agama iaitu melaksanakan
solat Subuh. Dia membiarkan sahaja jam loceng elektronik itu berbunyi-bunyi di
meja kecil bersebelahan katil.
Pintu bilik diketuk dari luar bilik Adam. Dia yang
mengenali insan yang sedang mengetuk pintu biliknya itu, mula mendengus kasar
dan menarik selimutnya sehingga menutup kepala. Pintu bilik dibuka dan terkuak.
Seorang wanita masuk ke dalam bilik yang gelap tidak berlampu itu. Ditambahkan
lagi dengan kegelapan Subuh. Dia melilaukan matanya untuk mencari kelibat anak
muda yang tinggal sebumbung dengannya selama 10 tahun itu. Apabila data
penglihatannya menangkap kelibat seseorang yang masih lena dibuai mimpi, dia
mula mendekati katil sambil menggelengkan kepalanya. Dalam hatinya, dia
berbisik, ‘Apalah nak jadi dengan Adam ni..’.
Perlahan, Annika menggerakkan tubuh Adam, ingin
mengejutkan anak muda itu bagi menunaikan solat Subuh. Suaranya meskipun merdu
dan sayup-sayup lembut kedengaran di cuping telinga Adam, namun hati kerasnya
memberontak tidak mahu patuh terhadap arahan ibunya. Seorang ibu yang dia
rasakan tidak layak pun menjadi ibunya.
Annika yang sedari tadi hanya menggerakkan batang ubuh
Adam selama 15 minit, mula mengeluh perlahan. Mindanya yang sudah ditetapkan
untuk memiliki satu data sifat kesabaran, lekas beristighfar sebanyak yang
mungkin. Walaupun dia telah ‘di-data-kan’ semula, namun sifat semula jadi
seorang wanita dan manusia tetap ada di dalam dirinya. Dia kemudian menyambung
menggerakkan Adam.
Adam yang berasa rimas disentuh oleh seorang wanita yang
amat dia benci, mula merengus dengan kasarnya. Dia tidak suka! Dia tidak suka
diganggu tidurnya! Lebih-lebih lagi orang yang berusaha mengganggu lenanya itu
adalah seorang yang amat dibenci oleh dirinya! Meskipun wanita itu sudah 10
tahun menjaga dirinya! Disebabkan marah dan benci, Adam menolak wanita itu
untuk berjauhan dengannya, Tidak ingin dia wanita itu duduk di atas katilnya,
apatah lagi menyentuh dirinya!
“Kalau Adam tak suka, Adam tak mahulah, perempuan
robot!”, Adam menengking Annika. Annika yang segera berdiri di atas lantai
setelah ditolak kuat oleh Adam, mula mengeluarkan tona wajah berwarna merah
kebiruan pada pipinya yang besi itu. Sekali gus mempamerkan data perasaan sedih
bercampur dengan perasaan malu dan marah atas sikap Adam. Dia segera meletakkan
tangan kanannya pada dada sebelah kirinya, mengarahkan ‘si hati’ prototaip itu
untuk bersabar dengan kerenah Adam. Adam melihat Annika dengan mata yang tajam.
Wajahnya bengis. Dia benar-benar marah.
“Adam, bangunlah untuk solat Subuh..”, Annika bersuara
lembut walaupun Adam melayannya dengan kasar dan biadap. Adam terus menolak
selimutnya jatuh ke lantai bilik. Dia berjalan menuju Annika, dengan niat ingin
menolak wanita itu keluar daripada bilik tidurnya.
“Adam...”, Annika segera mengenggam tangan Adam yang
berusaha menolak tubuhnya itu. Perbuatan Adam terkunci apabila Annika berbuat
demikian. Dia mula berusaha untuk melepaskan tangannya daripada genggaman
Annika yang menggunakan daya kekuatan sebuah robot dewasa. Walaupun Adam itu
seorang lelaki, kalau nak dilawan dengan seorang perempuan, namun dia hanya
seorang manusia biasa yang sedang berseteru dengan seorang wanita robot.
Ya, Annika adalah seorang robot.
“Lepaskan aku!”, Adam meminta rayuan daripada Annika dengan
nada suara yang kasar. Annika kemudian meleraikan genggamannya, membuatkan
pergelangan tangan Adam menjadi merah. Annika yang terkejut dengan perbuatannya
itu, mula mempamerkan sekali gus menghantar data risau kepada mesin hati dan
mindanya. Dia ingin menyentuh Adam, tetapi Adam segera menjauhkan dirinya
apabila dia berbuat demikian. Annika seterusnya mendiamkan dirinya, wajahnya
tertunduk memandang lantai.
“Adam, maafkan ma... mamaa....”, Annika memohon kemaafan,
walhal yang salah itu adalah Adam yang melawan Annika sebentar tadi. Adam
kemudian menolehkan pandangannya melihat Annika.
“Hmpph? Seorang robot menyamakan dirinya dengan ibu aku?
Huuu! Tidak layak pun kau jadi mama aku, faham?! Kau tu hanya seorang robot,
yang tidak ada perasaan langsung! Yang kau tahu hanya menyakiti aku, macam yang
kau buat sekarang ini. Kau nampak ini?!”, Adam marah lalu menunjukkan
pergelangan tangannya yang merah itu. Annika hanya melihat Adam dengan
pandangan sayu. Siapa kata robot tidak mempunyai perasaan?
Annika sedih dengan sikap Adam. Hanya itu yang sentiasa
diulang oleh Adam selama dia menjaga Adam bagaikan menatang minyak yang penuh.
‘Annika tu hanya seorang robot! Dan robot tidak mempunyai
perasaan pun! Tidak pernah!’
Dengan suara yang tergugup-gugup, Annika memberanikan
diri untuk bersuara, “A... Adam. Selamat hari lahir, Adam. Ada baiknya Adam
solat, panjatkan kesyukuran sebab Adam masih diberikan nyawa oleh Allah..”.
Annika tersenyum manis kepada Adam, sambil mendepakan tangannya dengan harapan
Adam akan memeluk dirinya sama seperti ketika Adam masih kecil.
. Adam sedikit terharu dengan keprihatinan Annika, yang
masih ingat dengan tarikh hari lahirnya. Ya, hari ini genap dia berumur 15
tahun. Dia tersenyum tawar tetapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia kemudian
pusing ke belakang, berjalan menuju bilik air yang berada di dalam bilik
tidurnya. Nasib baik Annika mengingatkan dirinya yang alpa itu. Harapan Annika
tinggal harapan kerana Adam tidak ingin memeluk dirinya. Hanya kerana dia
seorang robot yang berbadan besi sejuk, maka dia tidak layak untuk menerima
satu pelukan pun?
Sebelum Adam masuk ke dalam bilik air, dia berhenti lalu
menoleh ke arah Annika yang masih setia berdiri di tempatnya. Annika mula
menunjukkan wajah ceria, berharap Adam memeluknya.
“Annika, saya hanya mahu ibu saya yang sebenar untuk saya
peluk. Bukan seorang wanita robot, yang menjadi bahan ejekan di sekolah
disebabkan saya mempunyai seorang ibu robot.”, Adam kemudian masuk ke dalam
bilik air, mengunci pintu dari dalam. Annika masih terdiam. Dia ingin
menitiskan air mata, tetapi di dalam badannya itu hanya padat dengan peralatan
elektronik yang sensitif dengan unsur
air. Dia kemudian berjalan dengan perlahan, meninggalkan bilik tidur Adam
dengan perasaan yang di-data-kan untuk bersedih dan hampa.
‘Kalaulah Adam tahu hal yang sebenar...’, getus hati
Annika lalu menutup pintu bilik tidur Adam. Adam yang belum pun berganjak
daripada menggenggam tombol pintu bilik air, membuka semula pintu tersebut.
Biliknya kosong, tiada Annika yang setia bersabar melayan kerenahnya.
‘Adam hanya mahu ibu, mama yang sebenar. Maafkan Adam,
Annika. Awak bukan ibu saya yang saya ingat..’.
LOCENG Sekolah Menengah
Roborium di daerah Galaksi berbunyi memberi petanda bahawa masa pertama
persekolahan sudah bermula. Kelihatan pelajar-pelajar daerah Galaksi
berpusu-pusu memasuki pintu pagar sekolah tersebut yang tidak mampu melawan
pintu pagar sebuah sekolah elit di daerah Univeris. Daerah Galaksi turut
mempunyai kelengkapan yang cukup, tetapi tidak selengkap dan secanggih mereka
yang berada di daerah Univeris. Adam yang merupakan penduduk daerah Galaksi,
hanya mengenakan pakaian seragam sekolah yang lusuh dek sudah lama dipakai
tanpa berganti dengan membeli yang baru. Annika yang menghantar Adam ke
sekolah, hanya dibiarkan oleh Adam tanpa memberi salam pengormatan pun kepada
dia. Annika sudah masak dengan sikap anak muda itu jadi, biarkan lah dia… Nanti
sendiri yang sakit jiwa dek melayan perasaan sedih.
Adam yang dengan niat mahu segera tinggalkan Annika, terbantut
niatnya apabila Latte, pembuli di sekolah itu muncul menghalang laluan
jalannya. Dia hanya menundukkan kepalanya, tidak ingin mahu bertemu mata dengan
budak lelaki yang lebih besar daripada dirinya. Latte yang meletakkan kakinya
di laluan tempat Adam lintas, terus menarik kolar baju sekolah Adam. Adam masih
diam membisu, tidak mahu melawan.
“Hoi.. budak. Mana mama robot kau? Kenapa kau masih
berani datang di sini? Kenapa? Kau masih mahu tunjukkan pada sekolah yang kau
itu pandai berbanding kami?”, Latte sengaja memanaskan telinga Adam. Dia
kemudian meninjau persekitarannya, tercari-cari kelibat Annika. Apabila dia
terlihat Annika yang sedang membelakang mereka kerana ingin pulang ke
rumah,satu mentol kecil muncul di atas kepalanya yang besar seperti telur
burung unta itu.
“Oh ya..kan. Mana mama robot kau tu? Mama robot yang jaga
kau macam anak kandungnya? Macam manalah dia boleh lahirkan kau, hah? Bukan dia
tu robot, robot yang hanya diperbuat daripada besi? Mana mungkin dalam
fisiologi anggota badannya itu terdapat darah. Dan, kau satu-satunya pelajar di
sini yang mamanya lain daripada yang lain. Sudah lah pelik, robot lagi tu!”,
teriak Latte dengan kuat sengaja menyakitkan hati Adam. Daripada ‘pergaduhan
secara tidak langsung itulah’, pelajar lain mula berkumpul mengerumuni mereka
berdua. Suara Latte yang kuat itu membuatkan Annika yang baru sahaja ingin
meninggalkan sekolah itu, berpatah balik kerana deria pendengarannya dapat
menangkap suara orang yang kasar. Menunjukkan pergaduhan kecil bakal berlaku.
Dan paling utama dia terdengar seseorang menyebut,
‘ROBOT’.
Latte ingin menumbuk muka Adam. Satu tumbukan kena tepat
pada muka Adam, membuatkan hidung Adam berdarah. Adam hanya menahan kesakitan
yang ditampung. Saat itu, dia hanya berharap ibunya yang betul muncul menjadi
malaikat pelindung untuknya. Latte yang belum berpuas hati membelasah Adam
tanpa motif yang bersebab, memberikan lagi sebuah tumbukan yang tepat mengenai
perut Adam. Kali ini, Adam tidak mampu menahan. Agak-agak lah! Yang ditumbuk tu
perut, kalau pendarahan dalaman berlaku macam mana?!
Latte masih tidak puas. Itulah kelemahan penduduk daerah
Galaksi. Mereka tidak dapat mengawal perasaan negatif yang muncul dalam diri
mereka. Sekali lagi, satu tumbukan hinggap dekat dada kiri Adam. Letaknya organ
dalaman yang penting untuk manusia seperti Adam.
Jantung!
“Arghhh!!!!!!!!!!!!!”, Adam menjerit kesakitan. Latte
ketawa. Tidak puas, dia sudah bersedia mengepulkan tangan kirinya, kali ini
mahu menumbuk kepala Adam. Biar dia cacat, lupa ingatan, tidak pandai, tidak
terkenal!
“SNAPPPP!!!”, tangan Latte di tepis. Tepisan tersebut
kuat, membuatkan Latte yang menjadi mangsa terasa sakit tetapi tidak ingin
menjadi selemah Adam. Ego manusia memang tinggi, menyangka lelaki yang menangis
itu lemah.
“Hoi!!!”, Latte berteriak kerana marah dengan orang yang
menepis tangannya. Sekali lagi, dia berusaha memukul Adam sebelum….
“GEDEBUKKKK!!”
Kali ini Latte jatuh tersungkur di atas tanah. Habis
perutnya dibelasah oleh orang itu. Apabila mereka semua melihat insan yang cuba
menyelamatkan Adam, mereka semua terkejut dan berlari bertempiaran masuk ke
dalam bangunan sekolah.
Annika segera menghampiri Adam yang tidak sedarkan diri
itu. Tidak lama kemudian, muncul pengetua sekolah Roborium, Tuan Nain dan beberapa
orang guru untuk membantu Adam. Manakala untuk Latte, mereka segera memimpin
lelaki itu membawa dia masuk ke dalam bangunan sekola menuju bilik sakit. Tuan
Nain menghampiri Adam yang sedang digendong oleh Annika. Terkejut lah juga Tuan
Nain dibuat oleh Annika. Tetapi apa peliknya! Annika tu seorang robot!
“Annika, sudah berapa kali saya berpesan. Jangan masuk
campur sekiranya urusan itu membabitkan Adam..”, Tuan Nain cuba mengingatkan
kembali perjanjian yang dibuat antara mereka berdua. Annika yang tidak
memandang wajah Tuan Nain, mendongakkan kepalanya untuk bersemuka dengan
pengetua.
“Tetapi, bukankah Adam dalam bahaya tadi? Dia boleh
terbunuh kalau budak itu cederakan Adam!
Bukan muka saja dibelasah. Perut, jantung dan nasib baik kepalanya tidak
diapa-apakan!”, amarah Annika kian memuncak. Memang setiap kali Adam dalam
bahaya, Annika sentiasa berusaha untuk menyelamatkan dia meskipun terpaksa
membelasah orang tersebut!
“Tetapi Annika juga kena sedar. Sekiranya robot ikut
serta, awak akan gunakan daya kekuatan anda walaupun pada tahap minimum.”, Tuan
Nain menghentikan butir bicaranya, berjalan menuju Annika untuk mengambil Adam.
Annika enggan bertukar tangan, sebaliknya dia mengangkat kakinya untuk
meninggalkan kawasan sekolah itu. Dia akan merawat Adam sendiri. Membawa dia
jauh daripada orang yang berusaha untuk melindungi Adam kononnnya. Serta jauh
daripada orang yang sengaja untuk menyakiti Adam dalam diam hatta nyata.
Kerana dia tahu hanya satu motif mereka berbuat sedemikian.
Menghalau Annika daripada daerah Galaksi. Satu-satunya
daerah yang menjadi penempatan untuk golongan manusia di bumi masa kini.
SUHU di tempat tersebut
sejuk. Adam berpeluk tubuh, mengecil seperti seekor tenggiling yang berlindung
daripada diancam oleh musuh. Puas Adam mengerahkan seluruh tenaganya untuk
menghasilkan haba bagi menghangatkan tubuh. Dia bukannya gemuk, tetapi cukup
berisi namun masih gagal menghasilkan haba yang secukupnya. Sebagai akibat, dia
menjadi keletihan lalu tertidur tidak sedarkan diri.
Adam keletihan dalam lenanya. Dia teperangkap dalam dua
dunia. Tidak lama selepas itu, tubuhnya mula berpeluh dengan lebatnya. Memaksa
dirinya untuk bangun kerana tidak tahan dengan haba yang entah dari mana muncul
secara tiba-tiba. Bila dia sedar, dia melihat persekitaran sekelilingnya. Satu
tempat yang luas tidak berpenghuni. Tanah
tempat dia berdiri, adalah lantai beralaskan jubin berwarna putih kapur.
Penuh dengan sisa tanah serta bahan berasaskan besi. Ada rumput, ada paku, ada
batu-bata, ada manusia….
Eh? Ada manusia? Adam mengecilkan mata, memfokuskan satu
kelibat yang sedang berlari menghampirinya. Seakan ingin menyelamatkan Adam. Berpusing memerhati persekitaran sekali
lagi, dia dapat menangkap maksud kejadian sekarang.
Lantai itu penuh
dengan kotoran. Sisa tanah berhamburan, dan terdapat satu papan notis “BAHAYA”.
Asap berkepul-kepul muncul di hujung taman tersebut. Lebat dan hitam pekat
warna asap tersebut. Adam kemudian kembali fokus ke arah kelibat yang makin
menghampirinya.
“Lari!! Tempat ini mahu hancur!!”, jeritan seorang lelaki
dari arah jauh kedengaran membuat Adam tertoleh membelakangi kelibat yang
sedang mendekati Adam. Tiba-tiba, Adam dipeluk dari belakang.
“ADAM! LARI!!”
“BOOOOOMMMMM!!!”
Adam menjerit, bangun daripada mimpi buruk yang selalu
menghantui rehatnya. Tidur ka tak tidur, itu yang selalu dimainkan oleh otak
memorinya. Dia cuba untuk memahami, mengaitkan dan mengingat peristiwa di dalam
mimpi itu.
“AAARGGHHH!”, jerit Adam kerana sakit kepala berusaha
mengembalikan ingatannya. Semuanya kabur. Tiada petunjuk.
Pintu dibuka dari luar. Muncul seorang lelaki berpakaian
kemeja putih dengan mengenakan kaca mata berbingkai besar. Professor Mikhail
tersenyum setelah melihat Adam. Alhamdulillah.. bangun juga ni anak.
“Prof, berapa lama saya tidak sedar diri?”, soal Adam
pantas setelah mengenali lelaki berkarisma itu.
“Dua hari, Adam.”, jawab Professor Mikhail jujur. Usai
mendengar jawapan daripada lelaki itu, Adam meraup wajahnya menggunakan dua
tangannya.
“Apa yang terjadi sampai dua hari saya terlantar di
sini?”, soal Adam sekali lagi, pelik. Tidak pernah dia pengsan selama lebih
sehari. Paling-paling pun, 6 jam kerana memori yang tiba-tiba muncul itu.
“Awak tidak ingat apa-apa?”.
Adam menggelengkan kepalanya. Professor Mikhail mengeluh.
“Adam dibelasah teruk hari itu. Latte sudah didakwa dan
dihantar ke penjara Pluto.”
“Mana Annika?”, tidak pernah dia bertanyakan khabar
Annika setelah sedar dari pengsannya. Adam berasa hairan.
Biarlah… sekali-sekala ambil berat pasal robot itu.
“Annika suruh awak berehat di sini. Dia kata keadaan
tidak…”
‘BOOOOMMM!’
Kedengaran satu letupan muncul di luar bangunan tempat
mereka berteduh. Adam jatuh melutut kerana terkejut. Tangan diletakkan di atas
kepala. Khuatir konkrit bangunan di atas kepala mereka tertanggal. Al-maklum
lah, bangunan mereka tu sudah lama dibina. Sejak tahun 2009.
Professor Mikhail segera menghampiri Adam. Melindungi
Adam adalah satu tanggungjawab yang diterima dengan kerelaan hatinya. Adam yang
berasa rimas dengan sikap secara ‘tiba-tiba’ Professor Mikhail, menjauhkan
diri. Professor Mikhail sedar akan peri lakunya lalu menjarakkan dirinya
daripada Adam. Tetapi masih mengawasi setiap gerak geri Adam.
“Apa lagi yang terjadi professor? Apa yang mereka mahu
kali ini?”, Adam bersuara.
“Univeris mahu menghapuskan kita..”
“Tetapi bukankah mereka juga manusia?”.
“Adam, mereka memang manusia. Manusia yang dipengaruhi
oleh robot. Dan robot mereka itu licik, pandai.”, jelas Professor Mikhail.
Di daerah Univeris pula, seorang pembesar sedang datang
menghadap raja mereka. Berniat mahu menyampaikan sesuatu. Setelah pengawal
peribadi raja memaklumkan kepada raja bahawa yang datang itu adalah pembesar
mereka, raja itu mengangkat tangan sebagai isyarat memanggil pembesar itu datang
menghampirinya.
“Raja Rayyan, kami sudah menemui lokasi Annika.”, Emerald
bersuara. Demi mendengarkan nama Annika, Raja Rayyan kemudian bangkit daripada
singgahsana miliknya. Dia menghampiri Emerald yang sedang menundukkan wajah.
‘Di manakah Annika?’, Raja Rayyan menggunakan kuasa
telipati komunikasi dalaman secara terus ke dalam minda Emerald. Itu adalah
salah satu keistimewaan yang dimiliki oleh raja daerah Univeris.
“Kami menemui dia kini berada di daerah Galaksi.”, jawab
Emerald tanpa berselindung. Kalau para pembesar sebelum Emerald, memang panjang
jawapan yang diberi. Mana tidaknya kalau siap berkias kata dengan raja mereka!
‘Annika? Annika yang robot itu?’
“Ya, yang teramat mulia. Annika merupakan satu-satunya
robot yang tinggal di daerah Galaksi. Raja sendiri yang mengetahui hal
tersebut.”, balas Emerald. Raja Rayyan kemudian berjalan menuju tingkap besar
yang terletak di belakang singgahsana. Di luar tingkap, Bandar Univeris
tersergam indah lagi gah menghiasa pemandangan matanya. Baginda mengeluh
perlahan.
‘Sudah lepaskan letupan tersebut?’, soal Raja Rayyan.
“Sudah, yang teramat mulia. Tetapi, mengapa tuan
mengeluarkan arahan tersebut?”, soal Emerald sekali lagi. Raja Rayyan kemudian
berpaling menghadap Emerald yang sedang memerhatinya dengan seraut wajah yang
kosong.
“Beta mahu Annika. Dan, budak yang bersama dengannya.”,
Raja Rayyan bersuara dengan garau. Emerald kemudian terdiam, tidak bersuara
lagi. Lalu dia berjalan meninggalkan dewan tersebut setelah meminta keizinan
daripada Raja Rayyan.
‘Annika…’ , Raja Rayyan menghubungkan dirinya melalui
kuasa telepati komunikasi dalaman dengan Annika. Annika yang sedang berjalan
menuju bangunan yang menempatkan Adam dan Professor Mikhail, terhenti di
tengah-tengah jalan. Setelah sekian lama tidak berhubung melalui telepati,
Annika mengerang kesakitan.
‘Tuanku… Kenapa tuanku mungkir janji?’, Annika membalas
sambil dirinya sudah terduduk di atas tanah.
‘Maafkan beta, Annika. Beta hanya mahu tahu situasi
Annika..’, balas Raja Rayyan. Annika berusaha menghentikan proses telepati itu,
tetapi Raja Rayyan mengarahkan Annika menggunakan mindanya untuk tidak berbuat
begitu.
‘Apa lagi yang kamu mahu?’, tanya Annika.
‘Pulanglah ke Univeris. Bawa Adam sekali. Maka beta tidak
akan menyerang lagi daerah Galaksi.’, jawab Raja Rayyan. Annika kemudian
berubah data mode menjadi marah.
‘Tidak!! Saya akan terus di sini melindungi Adam! Biarpun
terpaksa mengorbankan nyawa orang lain!’, jerit Annika dalam telepati itu.
‘Bagaimana dengan Mikhail?’, Raja Rayyan membabitkan
Professor Mikhail dalam perbincangan mereka. Annika terdiam. Kemudian, dia
mendapat satu idea.
‘Awak, jangan lupa. Nyawa awak, nyawa saya juga. Kita
sedang berkongsi satu sistem nyawa yang sama. Syukur awak dibantu oleh Mikhail.
Kalau tidak…’, Annika kemudian menumbuk dada kirinya menggunakan tahap kekuatan
yang minimum. Tepat mengenai data nyawa berupa seperti jantung manusia tetapi
berbentuk bujur. Annika mengerang kesakitan. Di sebelah sana pula…
“ADUH!!!”, automatik Raja Rayyan turut menjerit, akibat
kesakitan yang dialami di dada sebelah kiri miliknya. Dia terduduk di atas
singgahsana, mengusap lembut dadanya. ‘Benar.. Tapi aku mahu juga Adam di sini!
Sekali dengan kau, Annika!’.
Di daerah Galaksi pula…
Annika segera membesarkan langkahnya menuju tempat Adam
dan Professor Mikhail. Dia tahu apa langkah Raja Rayyan yang seterusnya. Dia
dapat baca. Tanpa menunggu respon orang di sebelah sana, pintu ditolak kuat.
Adam dan Professor Mikhail terkejut demi sahaja melihat kemunculan Annika. Mata
Annika berubah menjadi biru, mode robot yang sedang kerisauan. Adam pelik
dengan perubahan mata Annika daripada warna hijau kepada biru itu.
“Mikhail, bawa Adam sekarang juga.”, tergesa-gesa Annika
menuturkan bicaranya. Adam terpinga-pinga apabila Annika berkata begitu kepada
Professor Mikhail. Professor Mikhail pula hanya mengangguk setelah menerima
arahan. Dia menarik tangan kanan Adam. Bersedia membawa Adam lari demi
keselamatannya.
Adam menjadi risau dan marah kerana dia tidak tahu apa
yang terjadi. Letupan kuat di luar, kemunculan Annika secara mengejut dan
perubahan mode mata Annika. Dan kali ini, Annika menyuruh Professor Mikhail
bawa dia pergi?
“Annika, apa yang terjadi ni?”, soal Adam. Dia kini
berada di pintu keluar belakang bangunan itu setelah ditarik tangannya oleh
professor. Mata Adam dan Annika sempat bertaut. Annika tersenyum manis kepada
Adam. Hati Adam mula dilanda kegundahan.
“Satu saat nanti, Adam akan jumpa juga mama Adam yang
sebenar. Annika janji.”, pesan Annika sebelum lenyap dari bangunan itu. Dia
mengaktifkan kasut yang dipakai, menghidupkan enjin motor berupa seperti beg
terbang di dalam kebanyakan siri drama berunsurkan kegiatan perisik yang
bertaraf antarabangsa. Bumbung bangunan ditembus oleh robot wanita itu.
“Annika!!!”, Adam menjerit memanggil nama robot
penjaganya itu. Disebabkan terlalu risau, dia berlari menuju pintu depan
bangunan dan meninggalkan Professor Mikhail yang sedang menghidupkan enjin
kereta berkuasa tinggi jenis hybrid edisi Honda.
“Adam!!!”, jerit Professor Mikhail setelah terlihat Adam berlari
meninggalkan pintu belakang bangunan. Dia berlari mendapatkan Adam yang sudah
berada di luar bangunan.
Adam berlari mengejar Annika, walaupun dia tahu dia tidak
mampu mendapatkan Annika yang sedang terbang. Tanah daerah Galaksi berubah
menjadi coklat kehitaman. Suram. Ibarat berada di padang Mahsyar. Panas. Hanya
orang-orang yang banyak amal ibadahnya di dunia sahaja mampu bertenang ketika
dikumpulkan di padang Mahsyar kelak.
“Bagi mereka
(disediakan) tempat yang damai (syurga) di sisi Tuhannya. Dan Dialah pelindung
mereka kerana amal kebajikan yang mereka kerjakan.
Surah Al-An’am, ayat
127”
“Adam!! Jangan lari!! Bahaya!”, Professor Mikhail
menjerit dengan harapan Adam akan mendengar. Adam yang sudah kelihatan seperti
letih, berhenti daripada berlari. Dia tercungap-cungap dan berusaha untuk mendapatkan
oksigen. Bagaimana oksigen ingin masuk sekiranya pokok-pokok di daerah itu
sudah hancur dek bom yang dilepaskan oleh daerah Univeris? Setelah mampu
bernafas dengan sebaiknya, Adam berpatah balik menuju tempat Professor Mikhail
sedang berdiri. Professor itu tersenyum sambil melambaikan tangannya kepada
Adam.
“TUUPP!!”, satu tembakan tepat kena pada betis kiri
Professor Mikhail. Adam terkejut. Lantas dia berlari mendapatkan Professor
Mikhail yang sudah jatuh mencium bumi sambil darah pekat meluncur keluar dengan
laju. Professor Mikhail pula sedang menahan sakit dengan memegang betis
kirinya. Sakitnya hanya Allah S.W.T. yang tahu.
“Professor!!”, sesampai sahaja tempat Professor Mikhail,
Adam segera memapah lelaki itu ke dalam bangunan. Menyandarkan professor pada
dinding bangunan, dia membantu professor dengan apa yang dia mampu. Meluruskan
kakinya, mencari kain yang panjang lalu mengikatkan kain tersebut di atas betis.
Bagi menghalang pendarahan yang lebih lebat. Wajah Professor Mikhail pucat
seperti puntianak moden. Dia mengeluarkan peluh yang lebat. Dadanya naik turun.
Dia meletakkan tangannya pada bahu Adam.
“Adam.. dengar sini, Adam.”, menyuruh Adam melihat dirinya
dengan menggoncangkan tubuh anak muda itu. Adam berhenti daripada melakukan
tugas merawat.
“Adam itu… Adam bin Mikhail. Kamu, Adam, sudah jumpa mama
kamu…”, lemah sahaja Professor Mikhail menjawab. Adam mula menunjukkan wajah
yang tidak sabar ingin mengetahui perkara yang selanjutnya. Matanya membulat.
“Apa maksud professor? Adam bin Mikhail?”.
“Anakku, kau sudah jumpa ibu mu.. Dia satu-satunya
penduduk Galaksi yang hanya boleh menghentikan kekejaman Raja Rayyan..”,
Professor Mikhail menguatkan dirinya untuk berbicara. Memang sukar untuk Adam
menerima kenyataan Professor Mikhail yang mengejut itu. Anak kepada seorang
professor? Adam?
“Siapa ibu aku? Mana mama?!”, rindu yang dipendam memang
tidak boleh ditahan setelah lima belas tahun bersabar. Sebagai akibat, dia
terpaksa diasuh dan tinggal bersama seorang wanita robot yang bagi dirinya
kejam serta tidak mempunyai perasaan langsung! Professor Mikhail mendekatkan
mulutnya ke telinga Adam.
“Annika, Adam. Annika si robot itu mama kamu.”, satu
kenyataan yang sukar diterima akal. Segera Adam menjarakkan dirinya.
Kelakuannya itu seperti seorang manusia yang ternampak hantu. Professor Mikhail
hanya mengangguk kepala. Mana mungkin robot itu mamanya? Jika benar, Adam sudah
berbuat dosa terhadap Annika, mamanya!
“Maafkan ayah, Adam. Mama kamu berusaha melindungi kamu.
Dia asalnya seorang manusia, tetapi daerah Galaksi hancur 10 tahun yang lalu.
Kita berasal daripada daerah Univeris. Setelah kamu dilahirkan, atok kamu mahu
sangat kamu tetap menjadi penduduk daerah situ. Annika tahu kelebihan kamu
kerana dia yang membawa kamu ke sana ke mari selama 9 bulan di dalam rahimnya.
Adam sedar atau tidak. Tahap intelektual Adam lebih tinggi berbanding
kanak-kanak di sini. Atok kamu mahu menggunakan kelebihan kamu itu untuk
kepentingannya. Memimpin dan menjajah daerah Galaksi.”, Professor Mikhail
berhenti untuk mengambil nafas.
“Ketika itu, ayah terkenal sebagai seorang saintis yang
boleh mencipta manusia robot. Atok mahu ketika umur kamu genap 15 tahun,
menukarkan kamu menjadi seorang robot seperti Annika sekarang. Bila kamu
menjadi robot, dia dengan suka hatinya boleh menetapkan data minda dan sikap
yang dia kehendaki. Annika tahu niat buruk atok kamu, dan dia tidak mahu Adam
menjadi keldai kepada atok. Dia mengambil keputusan dengan membawa kamu lari ke
daerah Galaksi..”, sekali lagi berhenti untuk mengambil oksigen. Adam lalu
mengusap lembut belakang ayahnya.
“Bermati-matian atok ingat kamu dibesarkan di daerah
Univeris. Semuanya bocor apabila atok mendapat tahu kamu dan Annika tidak
berada di Univeris. Hal itu berlaku dua tahun selepas kelahiran kamu, dia
dengan sendirinya pergi ke Galaksi untuk mendapatkan kamu.”, Professor Mikhail
mengurut lembut dadanya. Adam bangun dan pergi mengambil air kosong di dapur.
Selepas itu, dia memberikan segelas air kosong kepada ayahnya.
Professor Mikhail ketawa kecil setelah meneguk air. “Ayah
masih ingat. Ketika itu, kamu berumur tiga tahun. Adam seorang kanak-kanak yang
cepat belajar. Adam petah berkata-kata. Kita sedang bermain di taman beralaskan
lantai jubin berwarna putih. Itu janji ayah untuk membawa kamu bersiar-siar
dengan Annika. Kamu berdua begitu gembira.”, Professor Mikhail kemudian
menyandarkan tubuh pada dinding. Mindanya di bawa ke masa lalu..
“Papa! Adam mahu aiskrim!”, jerit si kecil Adam sambil
memegang tangan ibunya, Annika. Annika yang mengenakan tudung berwarna putih, nampak manis
pada pandangan mata Mikhail.
Mikhail
meminta agar dua insan yang paling dia sayang untuk tunggu sebentar di situ
sementelah dia membeli aiskrim di luar taman. Adam girang bermain kejar-kejaran
dengan Annika. Kedua beranak itu ketawa kerana gembira. Pada penghujungnya,
Annika berjaya mendapatkan batang tubuh kecil Adam. Adam tidak henti ketawa.
Annika bahagia melihat kegembiraan yang jelas terpancar dari wajah si kecil.
Dia kemudian memeluk erat Adam. Seperti tidak mahu melepaskan anaknya yang satu
itu. Biarlah mereka lari daripada bayangan raja Univeris.
“Mama, Adam tidak boleh bernafaslah mama.”, walaupun
tertitah-titah tutur bicara Adam, Annika masih mampu memahami maksudnya. Dia
kemudian meleraikan pelukannya lalu mencubit ketam hidung Adam. Adam mengadu
kesakitan, tetapi ketawa selepas itu.
‘BOOMM!’, kedengaran satu letupan berdekatan tempat Adam
dan Annika berdiri. Kejadian tersebut membuatkan Adam terlepas daripada jagaan
Annika dan masing-masing jatuh rebah di bumi. Jarak mereka berdua jauh.
Adam memejamkan matanya, berusaha melawan kesakitan yang
mula menjalar-jalar di urat sarafnya. Annika bangun daripada rebahnya, mencari
Adam. Dia segera mengangkat tubuh setelah melihat ada seseorang sedang berlari
menghampiri Adam.
Raja Rayyan!
Seperti acara berlumba lari, kedua insan itu segera
berebut mendapatkan Adam yang pandangannya masih kabur. Annika terlebih dahulu
sampai, pantas memeluk tubuh Adam. Raja Rayyan pula yang terlewat, berhenti di
belakang Annika. Dia memandang Annika dengan satu pandangan yang jahat lagi
sinis. Seperti wajah syaitan lagaknya!
“Annika! Serahkan Adam kepada ayah sekarang!”, arah Raja
Rayyan. Annika yang menyampah dengan gelaran yang diberikan oleh raja bongkak
itu, memusingkan tubuh menghadap raja.
“Ayah? Awak adalah ayah kepada Mikhail yang lebih kejam
daripada anaknya!”, balas Annika. Memang perkahwinan mereka bahagia atas dasar
cinta selepas kahwin. Tetapi derita selepas mereka selamat diijab kabulkan dan
kini perlu berhadapan dengan seorang ayah mentua yang gila kuasa, Raja Rayyan!
“Ingkar
ya?! Baiklah!”, Raja Rayyan yang merasakan dirinya tercabar, lalu menggunakan
walkie-talkie untuk memberi arahan kepada Kripton, ketua angkatan tentera.
Setelah mendapat arahan, Kripton segera mengaktifkan bom yang letaknya tidak
jauh daripada tempat Annika dan Raja Rayyan berada!
Demi sahaja terdengar bunyi detikan bom digital, dia
dapat mengesan lokasi bom itu disembunyi. Dia kemudian mencampakkan Adam jauh
daripada dirinya. Adam yang sedar ketika itu, menangis kesakitan selepas
terjatuh di atas lantai berjubin putih. Dia menoleh melihat ibunya yang sedang
melambaikan tangan, isyarat mengarahkan Adam lari daripada tempat itu. “ADAM!!
LARI!!!!”.
“MAMA!!!”, tangis si Adam kecil. Air mata mengalir
daripada mata Annika. 5,4,3,2,1…..
‘BOOOMM!!!’.
“Setiap
yang bernyawa pasti akan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan
dengan sempurna balasanmu…
Surah
Ali Imran, ayat 185”
“Abang, jadi robot pun jadilah… Tolonglah.. Janji, Annika
dapat jaga Adam..”, rintih Annika yang tubuhnya itu hampir 85 peratus melecur
akibat ledakan bom. Raja Rayyan turut mengalami nasib yang sama tetapi tidak
semalang Annika. Raja Rayyan yang berada bersebelahan katil Annika, merintih
minta simpati daripada anak lelakinya. Mikhail tersepit antara dua insan yang
paling dia sayang.
Dengan azam yang kuat, Mikhail mengambil keputusan untuk
merawat dan mengubah kedua-dua mereka.
Tetapi Mikhail lebih tertumpu kepada isterinya yang jauh lebih teruk kecederannya.
Manakala ayahnya pula dirawat oleh rakan sekerjanya, Nain. Memandangkan Raja
Rayyan tidak cedera teruk, maka kehadirannya itu masih mempunyai kriteria
manusia yang sebenar. Cuma dalamannya sahaja digantikan dengan alatan
elektronik. Annika dan Raja Rayyan akhirnya diberikan satu data nyawa yang
sama. Izharnya, data nyawa itulah satu-satunya data yang berkebolehan untuk
menguatkan otot jantung manusia yang lemah.
Habis 6 jam bertungkus-lumus merawat Annika dan ayahnya,
Raja Rayyan terus dihantar ke daerah Univeris bagi mengelak daripada berlaku
persengketaan lagi. Annika pula ditempatkan di satu bilik khas milik Mikhail.
Dia terbangun daripada pengsan kesan
ubat bius yang disuntik ke dalam tubuhnya. Suaminya itu berada di tepi katil
sambil menggenggam erat jemari si isteri. Annika ingin menangis tetapi dia
tidak mampu. Dia tahu sekarang, dia seorang robot.
ADAM tidak menghiraukan
orang yang menyuruh dia untuk menghindari tempat tersebut. Dia melawan arus
manusia seperti melawan arus lautan luas. Taman Moden Galaksi itu semakin
kosong tanpa manusia. Siren tentera sudah dibunyikan, menunjukkan daerah mereka
bakal diserang. Maklumat itu diterima sejurus selepas Raja Rayyan memaklumkan
bahawa dia akan melepaskan satu lagi bom ke situ. Ini semua berlaku kerana dia
mahu Annika menyerah diri sekali gus mendapatkan Adam.
“Kamu mesti percaya. Saya boleh lawan mereka.”, jelas
Annika kepada ketua angkatan tentera, tetapi penjelasan Annika ditolak
bulat-bulat.
“Kenapa kau tidak serah diri sahaja?! Biar aman tempat
ini. Kerana kau lah, robot, kami semua dalam bahaya!”, bentak salah seorang
pegawai tentera yang berada di situ. Annika kemudian menoleh memandang pegawai
tersebut, dengan pandangan yang tajam. Mode kemarahan dia sudah muncul.
Astaghfirullah’al’azim..
“Janji kepada saya. Sekiranya benar saya gagal dalam
melindungi kamu semua, kamu semua mesti lindung Adam, anak saya..”, pesan
Annika dengan maksud yang mendalam. Dia memang maksudkan dengan kata-kata itu.
Pegawai tentera itu terdiam kerana Annika berjaya
mempengaruhi pemikiran mereka seperti Professor X di dalam filem X-Man. Dia
meninggalkan pejabat tentera, lalu terbang menuju tengah-tengah Taman Moden
Galaksi.
Adam seperti bingung kerana dia tidak terjumpa kelibat
yang dicari-cari. Dia mahu lindung ibunya. Dia sedar selama ini dia kurang
adab, tidak mengenang budi langsung. Dia tidak mahu kehilangan ibunya pula kali
ini. Dari kejauhan dia dapat lihat dengan jelas, sesusuk tubuh sedang
mendaratkan dirinya di atas tanah taman tersebut. Di tengah-tengah. Segera Adam
berlari mendapatkan Annika.
‘Ayah, hentikanlah ini semua.. Ayah sepatutnya bersyukur
masih diberi peluang untuk hidup dengan bantuan Mikhail atas izin Allah. Saya
masih diberi nyawa kerana saya betul-betul mahu lindung Adam daripada kekejaman
ayah, atok dia sendiri!’, Annika berhubung dengan Raja Rayyan melalui hubungan
telepati. Raja Rayyan terkejut lalu segera mengaktifkan sistem telepatinya.
‘Annika, sebentar lagi, kami dapat menjejaki Adam! Impian
ayah akan menjadi nyata!’, lain pula yang diperkata oleh Raja Rayyan. Ingatkan
sudah insaf, tetapi masih dengan sikap bongkaknya!
‘Ayah. Ingat. Kita kongsi nyawa yang sama..’, Annika
memberi penegasan dan amaran kepada Raja Rayyan. Raja Rayyan di sebelah sana
ketawa terbahak-bahak mendengar ugutan Annika yang ‘seram’.
‘Kau tu yang tidak mahu serahkan diri kau! Baiklah!
Emerald, serang!’, arah Raja Rayyan. Sebuah roket muncul dari arah jauh. Dan
roket itu terbang laju meluncur ke Taman Moden Galaksi!
Adam dapat melihat dengan jelas roket yang muncul dari
kejauhan. “MAMA!! MAMA!! JANGAN!!”, jerit Adam. Demi mendengarkan suara yang
dia nanti-nantikan selama ini, Annika menoleh melihat Adam. Dia tersenyum.
“Anakku…. Adam…”, Annika mengangkat tangannya separas
dengan dadanya. Ibarat orang yang menanti huluran tangannya disambut. Adam
berlari dengan sekuat tenaganya mendekati Annika. Dia mahu satu pelukan. Satu
pelukan dan selamatkan ibunya.
“Mama… maafkan Adam.. Adam sayang mama. Adam rindu
mama…”, Adam berlari sambil menangis. Dia lupa ingatan. Sebab itu mengapa dia
tidak ingat langsung wajah ibunya yang sebenar kerana wajah Annika berubah.
Adam hanya ingat situasi seseorang sedang menghampirinya, cuba menyelamatkan
Adam.
Annika akhirnya berjaya menitiskan air mata. Dia terharu.
Adam yang selamat tiba dan sedang memeluk dirinya itu, diusap lembut kepala
anak tunggalnya. Tetapi masa berjalan dengan pantas. Annika tahu masanya tidak
lama.
“Ingat, Adam. Jaga ayah. Mama selalu sayang Adam…”,
Annika mengangkat wajah Adam lalu mencium dahi anaknya. Air matanya jatuh
menitis pada mata Adam. Adam turut bersedih. Satu pelukan tidak cukup untuk
menggantikan sikapnya yang sering menolak pelukan yang ingin diberikan oleh
Annika.
“Mama sayang Adam…”, kemudian Annika menolak kuat tubuh
Adam jauh. Kali ini Adam dapat mengimbangkan tubuhnya. Annika membelakangi
Adam. Pada masa yang sama, dia mengangkat tangannya. Ingin menghentikan roket
tersebut daripada jatuh terhempas di Taman Moden Galaksi. 3,2,1….
‘BOOOMM!!!’
“MAMA!!!!”, jerit Adam.
“AARRGHHHH!!!!”, Raja Rayyan mengerang kesakitan. Dia
memegang dadanya, lalu menghebuskan nafas yang terakhir.
‘Kita berkongsi nyawa yang sama, ayah. Ingat tu…’
TAHUN 2025
Adam menolak kerusi roda yang menempatkan ayahnya,
Professor Mikhail. Mereka berdua berjalan menuju Taman Moden Galaksi yang sudah
dibaiki dan diubah suai. Kejadian dua tahun dan dua belas tahun yang lalu,
membuatkan gabenor Galaksi membuat perundingan bersama gabenor Univeris untuk
menghentikan apa-apa pun serangan yang tidak bersebab. Gabenor Univeris
bersetuju kerana kematian Raja Rayyan membebaskan mereka daripada terikat
kepada mana-mana pemerintah yang menggunakan kuasa mutlak. Bagi mereka, sudah
cukup Raja Rayyan memerintah mereka hanya kerana ingin mencapai matlamat
peribadi. Melalui perundingan tersebut, kedua-dua buah daerah itu bersetuju
untuk berdamai dan bersatu. Para pembesar dan bangsawan daerah Univeris turut
menghulurkan bantuan untuk memperbaiki taraf kehidupan penduduk daerah Galaksi.
Taman itu sudah siap dibina. Cuma perbezaannya adalah di
tengah-tengah tanah taman itu, mereka telah membina sebuah tasik buatan manusia
yang tersendiri. Di atas dasar tasik tersebut, sebuah monumen telah dibina
sebagai simbolik peringatan kepada kejadian yang berlaku di situ.
“Tuan muda, anda perlu bertolak sekarang juga. Tidak lama
lagi temu ramah anda akan berlangsung..”, Mayameen, pengawal peribadi merangkap
jururawat kepada ayah Adam berkata kepada tuan muda mahkota daerah Univeris.
Adam tersenyum sambil mengangguk kepada Mayameen. Dia kemudian mendekati
ayahnya yang sedang menghayati keindahan suasana taman daerah Galaksi yang sedang menuju ke arah
pembangunan yang lebih baik.
“Ayah, ayah masuk lah dahulu ke dalam kereta. Adam nak
bersiar-siar sekejap di sini.”, kata Adam kepada ayahnya. Professor Mikhail
menoleh ke kanan melihat anaknya. Lalu, dia menghulurkan tangan kanannya minta
disambut oleh Adam. Adam membalas huluran ayahnya dan mengenggam erat tangan si
ayah.
“Sampaikan salam ayah kepada ibu kamu.. Arwah ibu kamu.
Jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah buatnya..”, pesan Professor Mikhail sebelum
meminta Mayameen membawa dirinya ke kereta Honda hybrid berkuasa tinggi. Adam
mengangguk lalu mengatur langkah menuju tasik buatan di situ.
Setelah menaiki bot yang membawa dia ke tengah jeti tasik
tempat monumen itu ditempatkan, dia turun dengan dimulakan lafaz bismillah.
Berjalan menuju monumen arwah ibunya, dia membaca papan podumen yang menuliskan
peristiwa serta butiran insan yang menjadi simbol kepada monumen tersebut.
‘MONUMEN
INI DIBINA BERSEMPENA DENGAN PERISTIWA PENGEBOMAN YANG PERNAH BERLAKU SEBANYAK
DUA KALI. KEJADIAN KALI TERAKHIR YANG BERLAKU PADA TAHUN 2023 TELAH MEMBUNUH
SEORANG ROBOT WANITA YANG CUKUP BERJASA KEPADA DAERAH GALAKSI.
WANITA
ROBOT ITU BERNAMA ANNIKA BINTI RAHMAN. ARWAH TELAH BERUSAHA SEBAIK MUNGKIN UNTUK MELINDUNGI
DAERAH GALAKSI. MEMORIAL MONUMEN TURUT DIBINA SEBAGAI MENGHARGAI JASA BUDI
ARWAH SEBAGAI SEORANG IBU ROBOT YANG BERJASA DAN BERSABAR.
NAMA
MONUMEN : IBU ROBOT KU SAYANG.’
Adam sedekahkan surah Al-Fatihah untuk arwah ibunya,
Annika. Usai membacakan doa, dia memegang wajah monumen arwah ibunya. Dia
tersenyum kerana dia dapat melihat setitis air muncul di bawah mata Annika. Dia
mengesat air tersebut.
“Mama, terima kasih atas kesabaran dan pengorbanan mama
selama ini. Maafkan Adam, mama. In shaa Allah, Adam jaga ayah sebaik mungkin.
Adam akan berusaha menjadi pewaris daerah yang baik. Terima kasih, mama robot
ku sayang..”, Adam mencium dahi monumen arwah ibu. Pada masa yang sama, angin
bertiup sesepoi-sepoi bahasa seakan-akan menyapa diri Adam yang sedang
berbicara kepada monumen Annika. Dia dapat rasakan Annika membalas ucapannya
dengan hembusan angin yang lembut.
“Terima kasih, mama. Semoga Allah SWT menempatkan mama di
kalangan orang yang bertakwa. Adam sayang mama…”, akhiri Adam lantas
meninggalkan tempat tersebut.
‘Syurga
terletak di bawah telapak kaki ibu…’
Comments
Post a Comment